Raja Muzaffar Syah mencari Tuhan





Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada bondanya tentang Allah.

“Bunda.. Dimana Allah dan bolehkah ananda melihatNya?”

“Oh.. Allah itu di Arasy wahai ananda dan ananda tidak dapat melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua pun manusia tidak bisa melihatnya bagaimana mungkin ananda akan dapat melihat Allah yang berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala langit?”

“Oh begitu… Bagaimana dengan dalilnya bunda?”

“Dalilnya begini.. 

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan”.. dari surah Yunus ayat ke 3.”

Maka giranglah hati Raja Muzaffar karena telah mendapat jawaban dari persoalan yang selama ini sentiasa muncul difikirannya. 

Waktupun berlalu.. hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka telah remajalah Raja Muzaffar. Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di negeri ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar ingin berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama adalah yang paling diminatinya.

Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja Muzaffar ditanyai Syeikh Abdullah dengan 2 persoalan yang tidak asing baginya.

“Wahai ananda Putera Raja.. Dimanakah Allah berada dan bolehkah ananda Putera Raja melihatNya?”

Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan bundanya dahulu.
“Allah itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan beta tidak boleh melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit.”

Dengan tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu berkata..

“Begini ananda Putera Raja… Allah itu bukannya makhluk seperti kita lantaran itu Allah tidak seperti kita. 

Apa sahaja hukum yang terjadi pada makhluk tidak berlaku seperti itu atas Allah. Oleh itu Allah tidak bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”

“Lantas dimana Allah itu wahai Syeikh Guru?”

“Allah itu tidak bertempat karena Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang maksudnya adalah: Allah tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika kita mengatakan Allah berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka ketika itu kita telah menyerupakan Allah dengan keadaan makhluk. 

Ketahuilah, Allah tidak serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil dari surah asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala sesuatu.” Allah tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk. Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung zat Allah sedang bukit dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian Allah.”

Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian Syeikh Abdullah menambah..

“Berkenaan tentang ananda Putera Raja tidak boleh melihat Allah itu adalah betul namun bukanlah kerana Allah itu jauh maka ananda Putera Raja tidak boleh melihatNya.”

“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia ingin tahu.

“Sebenarnya kita tidak dapat melihat Allah bukanlah kerana faktor jarak tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia yang tidak mampu melihat zatNya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:

“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”.. dari surah al-An’am ayat 103.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah gurunya itu. Barulah beliau sedar bahwa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan yang mengatakan bahawa Allah itu di Arasy dan Allah tidak boleh dilihat kerana faktor jarak adalah satu kesilapan. Huraian daripada gurunya melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari hari itu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat Allah kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan ilmu Kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.

Waktu terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi izin lalu tanpa menunggu Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran.

Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Setiap hari apabila beliau melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan persoalan yang pernah ditanya kepada bundanya iaitu dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?. 

Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh bundanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu. 

Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang menyediakan air minuman untuk diberi kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa upah. Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya.

“Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?”
Tanya Raja Muzaffar tegas. 

Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk menawarkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.

“Siapakah tuan ini?” Tanya si Tua.

“Saya adalah Putera Raja negeri ini!” Jawab Raja Muzaffar tegas.

“Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang Allah tetapi tuan sendiri belum mengenal Allah. Jika tuan telah mengenal Allah sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soal tuan tadi.”

Raja Muzaffar sangat terkejut mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’ yang diucapkan orang tua itu. Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.

“Kemudian apa bedanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”

Dengan tenang si Tua itu menjawab..

“Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada tuan tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan wujud buah nangka, maka ini adalah kedudukan ‘tahu’ karana hanya sekedar maklumat dan orang yang berada pada kedudukan ini mungkin akan menyangka bahwa buah cempedak itu adalah nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. 

Berbeda dengan seseorang yang datang kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini adalah kedudukan ‘kenal’ kerana wujudnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan orang yang berada pada kedudukan ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan mana nangka dengan tepat.”

Raja Muzaffar mendengar dengan teliti penjelasab si Tua itu. Diam-diam, hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas dihatinya untuk menanyakan persoalan yang sering ia tanyanya kepada orang orang.

“Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan say ini.. 

Dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?”

“Allah berada dimana-mana dan manusia bisa melihatNya.” Jawab si Tua dengan tenang.

Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Lalu dipukulnya orang tua tersebut sehingga jatuh tersungkur. 

Melihat orang tua itu tidak mencoba mengelak pukulannya bahkan tidak menunjukkan reaksi takut sama sekali maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..

“Kenapa kamu tidak mengelak pukulanku wahai orang tua?”

“Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu tentang Allah tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal Allah.”

Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang tua itu.

“Baiklah orang tua. Silalah jelaskan jawaban kamu tadi sebab aku berpegang bahwa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak bisa melihat Allah.”

“Allah itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal saja sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang tua itu sambil mengusap bibirnya yang berdarah. 

Kemudian beliau menyambung..

“Bukankah Allah itu wujudNya esa?”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Jika Allah itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu yang menyerupaiNya.”

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.

“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika Allah itu diyakini wujud dan tidak ada satupun wujud yang meyerupaiNya dengan pandangan mata hati?”

Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua itu. Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ia merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud Allah. Lantas beliau membuat satu kesimpulan..

“Jika dipandang dari sudut Esanya wujud Allah, maka alam ini tidak lain melainkan diriNya sendiri”

Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar dari bibirnya. Berkedip kesip matanya apabila mendengar ucapannya sendiri. Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam. Terbungkam.

“Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan pandang pada hakikatnya?”

“Pada hakikatnya aku memandang Allah!”

“Nah kalau begitu bukankah Allah SWT telah berfirman:

“Dimana saja kamu menghadap, disitulah wajah Allah” dari surah Al Baqarah:115 

dan dalam surah Al Hadiid:3 yang bermaksud

“Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin.”

Kemudian orang tua itu bertanya lagi..

“Dan sekarang dapatkah tuan melihat Allah ketika ini”

“Ya.. Aku menyaksikan dengan ainul basyiroh.”

Perlahan-lahan bercucuranlah air mata Raja Muzaffar. Sekarang Beliau faham kenapa orang tua itu tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. 

Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian Allah. 

Dalam hati perlahan-lahan beliau berkata.. 

“Memang benar sesungguhnya pada sudut ini, Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia bisa melihat Allah.”


“Wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”

Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk mempelajari lebih dalam seluk-beluk ilmu hakikat hingga diangkat beliau sebagai gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. 

Demi mempraktikkan ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman almarhum gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang bisa membuatkan seseorang itu dapat mengenal Allah dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu hakikat. 

Beliau telah mengenepikan peraturan hukum akal (logika) dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. 

Bagi beliau, ilmu Kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah

Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar dinobatkan menjadi sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan adil dan saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya. 

Dimanapun beliau pergi beliau tetap akan menyakan soalannya yang lazim itu. Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh. 

Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.

Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan ditemani para pembesar istana. Pandangannya tertarik pada gelagat seorang pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang berusaha menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya.

Baginda mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai sepatu sebagai alas kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.

“Wahai pemuda.. kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja Allah bertindak menurut kemahuanNya.”

Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda gembala itu menggenggam pasir lantas dilemparkannya pasir itu ke muka Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membungkuk untuk mengambil segenggam pasir lagi lalu dilemparkan lagi ke muka Sultan Muzaffar Syah. Sultan Muzaffar Syah hanya mengelak mungkin terkejut dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar istana yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau pengsan.

Saat siuman, gembala itu mendapati tangan dan lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut badannya dan membawanya ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar Syah.

“Mengapa kamu melempari wajahku dengan pasir?”  tanya Sultan Muzaffar Syah.

“Karena tuanku mengatakan bahwa serigala itu adalah Allah yakni Tuhan saya.”

“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Syah hairan.

“Nampaknya kabar yang mengatakan bahwa tuanku ini adalah seorang yang mengenal Allah adalah bohong semata-mata.”

“Kenapa kamu berkata begitu?”
“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal Allah pasti akan sangat rindu untuk ‘menemui’ Allah.”

Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi apabila mendengar ungkapan ‘menemui Allah’ yang diucapkan oleh pemuda gembala itu. 

Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’. Seketika itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.

“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?”
Tanya Sutan Muzaffar Syah.

“Adakah tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?”

Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba..

“Ya, beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”

“Lantas apa keinginan tuanku terhadap Rasulullah?”

“Semestinyalah aku rindu untuk menemuinya karena baginda adalah kekasih Allah!”


“Nah begitulah… Orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan bukannya hanya sekadar berhenti didaerah ‘mengenal’ semata-mata.”

Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Syah berteriak kuat dengan menyebut perkataan ‘Allahu Akbar’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan.

Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka baginda kembali sedar. Sultan Muzaffar Syah terus menangis teresak-esak hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. 

Baginda memuhassabah dirinya.. 

“Memang.. memang selama ini aku mengenali Allah melalui ilmu hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu denganNya. 

Rupa-rupanya ilmu hakikat yang aku pegangi selama ini juga salah sebagaimana ilmu bunda dan ilmu Syeikh Abdullah”.. bisik hatinya. 

Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Syah untuk menanyakan soalan lazimnya kepada pemuda gembala itu.

“Kalau begitu wahai orang muda, silahkah jawab pertanyaanku ini.. 

Dimana Allah?”

Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab..

“Allah berada dimana Dia berada sekarang.”

“Kalau begitu, dimana Allah sekarang?

“Sekarang Allah berada dimana Dia berada dahulu.”

“Dimana Allah berada dahulu dan sekarang?”

“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang mengeetahui.”

“Dimana tempat itu?”

“Didalam pengetahuan ilmu Allah.”

Sultan Muzaffar Syah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut memikirkan jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan pertanyaannya lagi.

“Bolehkah manusia melihat Allah?”

“Kunhi zatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan pandangan hati.”

“Silahkan perjelas lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Syah.

“Begini tuanku.. adapun jawapan yang diberikan oleh bunda tuanku itu diatas soalan lazim yang tuanku berikan itu adalah benar menurut tahapan akal tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak. 

Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itu juga betul jika dinilai dari sudut hukum akal. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap ilmu Hakikat.

Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul jika dinilai dari sudut ilmu Ma’rifat. 

“Tiada yang salah cuma ilmu itu bertahap-tahap dan tuanku telah melalui tahapan-tahapan itu. Dari tahapan jahil (ilmu bunda) ke tahapan awam (ilmu Kalam) kemudian ke tahapan khusus (ilmu Hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas (ilmu Ma’rifat).”

Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya..


“Jika ilmu Hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada zat Allah maka ilmu Ma’rifat pula jalan baqo’ kerana menilik terus kepada Kunhi zat Allah. 

Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya simpulkan ialah: 

Tiada yang tahu dimana Allah melainkan Allah dan tiada sesiapa yang dapat melihat Allah melainkan diriNya sendiri.”

Sultan Muzaffar Syah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

“Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal Allah dengan sempurna sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”


“Jangan mengenal Allah dengan akal sebaliknya mengenal Allah dengan Allah.”

“Kemudian, bagaimana cara-caranya untuk dapat bertemu dengan Allah?”

“Sebagaimana Allah SWT telah firman :

 “.. Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya”.. surah Al Kahfi:110.”

Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Syah menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda gembala itu. 

Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam menuntut ilmu Ma’rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang sultan yang arifbillah lagi zuhud dan warak. Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam ruang lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah wal Jamaah. 

Dan sekarang pada usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Syah sadar dan faham bahwa untuk memahami tentang Allah maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan yang tertentu sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah. 

Baginya samada ilmu Kalam, ilmu Hakikat atau ilmu Ma’rifat kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan Insan Kamil yang Ma’rifatullah

Kini Sultan Muzaffar Syah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada Allah dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu Allah. 

Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan. 

Perlahan-lahan pemuda gembala menghampiri Sultan Muzaffar Syah yang sejak 20 tahun lalu tinggal bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu diribaan pangkuannya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke telinga Sultan Muzaffar Syah lantas mentalqinkan baginda dengan dua kalimah syahadah seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan muzaffar Syah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana hening… pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia berkata..

“Wahai alangkah beruntungnya.. sekarang tuanku benar-benar telah menemui Allah dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. Wahai Allah, masih belum layakkah untuk aku bertemu denganMu.. aku mencemburui Sultan Muzaffar Syah ini maka jemputlah aku menghadapMu Ya Allah…”. Sebentar kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana kembali hening……

Komentar

Postingan Populer